Monday, December 13, 2010

DOA : Senjata Muslim Terhebat di Dunia & Akhirat

Orang Islam ni, Allah sediakan satu senjata yang cukup hebat. Kalau diimani dan diyakini, tidak mustahil senjata ini lebih hebat daripada senjata peperangan. Apa senjata orang Islam...Jawapannya DOA. Namun persoalannya mengapa sebahagian orang Islam tak mahu berdoa. Ini kerana mereka tidak yakin dan suka melarikan diri daripada perintah Allah. Akhirnya, doa dah tak jadi senjata yang berfungsi...

Doa adalah pelengkap ibadah. Allah amat-amat suka mendengar doa daripada hambanya bernama manusia.Berkata seorang sahabat, Fudalah Ibni Ubaid " Sesungguhnya Allah mendengar dengan penuh minat doa daripada hambanya lebih daripada minat seorang tuan mendengar suara hamba perempuannya yang cantik sedang menyanyi". Maksudnya di sini ialah Allah sangat...sangat..sangat teliti mendengar doa kita semua.

Mungkin ada terdetik dalam hati " kenapa aku berdoa, tapi Allah tak makbulkan", "kenapa aku berdoa nak dapat keputusan SPM terbaik, Allah tak kabulkan", "kenapa aku berdoa nak dapat keputusan peperiksaan 4.00 tapi Allah tak kabulkan", "kenapa aku nak jadi kaya tapi Allah tak kabulkan" dan banyak lagi la rungutan berkaitan doa ni... Jawapannya mudah je. Ada 4 cara Allah kaedah Allah makbulkan doa kita :
1) Bila kita berdoa je...Allah terus makbulkan doa kita dalam jangka masa yang singkat.
2) Bila kita berdoa...pastu dah lama, mungkin bertahun-tahun, baru la Allah akan kabulkan.
3) Bila kita berdoa...Allah tak kabulkan doa kita sebabnya Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita pada masa hadapan.
4) Bila kita berdoa.. Allah tak kabulkan langsung kat dunia tapi Allah akan makbulkan di akhirat kelak.

Doa maksudnya perbualan atau pengucapan seorang hamba kepada Tuhannya. Doa mengajar kita merendah diri, bahawa kita adalah hamba yang takde kuasa, terlalu lemah dan sering mengharapkan pertolongan daripada tuan kita yang Maha berkuasa dan Maha Hebat iaitu Allah s.w.t. Segala kesulitan dan masalah yang melanda kita sebagai ujian buat kita semua, datangnya daripada Allah. Maka sudah pasti lah, jalan penyelesaiannya pun datang daripada Allah gak bukan daripada manusia. Kalau ada pun penyelesaiannya daripada manusia, itu bukan daripada kuasa manusia tapi sebagai asbab yang hakikatnya daripada Allah jua.

Setiap doa akan didengar oleh Allah dan Allah tidak suka kepada manusia yang tidak pernah berdoa. Orang yang tak nak berdoa dianggap sombong dan takbur pada Allah. Mengganggap manusia adalah hebat walhal 'nothing'. Allah ada berfirman yang membawa maksud " Berdoa lah kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan dengan suara yang perlahan serta bermohon lah kepada Nya dengan perasaan takut serta penuh harapan. Sesungguhnya rahmat Tuhan itu adalah dekat kepada orang yang berbuat kebajikan"

Rasulullah ada bersabda bermaksud " Jika kamu mengenang Allah pada waktu senang, maka nescaya ia akan mengenang kamu pada waktu kamu susah " Sabda nya yang lain bermaksud " Barangsiapa yang ingin supaya Allah mengabulkan permohonannya pada waktu susah dan sempit, hendaklah dia memperbanyakan doa pada waktu senang lenang."

Jangan putus asa jika doa tidak dimakbulkan segera. Allah ada berfirman bermaksud " Bermohonlah kepada Aku, nescaya aku akan perkenankan segala permohonan kamu ".Doa paling cepat dimakbulkan adalah seperti berikut :
  • Sentiasa mengekalkan solah
  • Doa orang yang bermusafir
  • Doa orang yang berpuasa
  • Doa orang yang teraniaya
  • Doa ibu bapa kepada anaknya
  • Doa seorang sahabat yang berjauhan & berkasih sayang kerana mengharap redho Allah.
  • Doa pemimpin yang adil

Doa akan terhalang apabila kita makan benda-benda haram.Jangan segan untuk mendapatkan doa daripada ibu-bapa , guru dan orang-orang Alim yang takutkan Allah.
Jika berdoa kena percaya bahawa doa kita diterima oleh Allah dan terus sujud syukur kerana doa kita diterima. Nabi Musa pernah berdoa agar Firaun dihapuskan. Nabi Musa percaya doanya dimakbulkan. Selepas 10 tahun baru Allah kabulkan.

Ibnu Sina ada berkata " apabila aku tidak menyelesaikan masalah matematik, aku pergi ke masjid dan berdoa kepada Allah supaya menunjukkan kepada aku jalan penyelesaian. Selepas itu aku kembali ke bilik kerja aku. Jika aku dapat menyelesaiaakn masalah yang begitu sukar, aku segera memberi sedekah kepada fakir miskin sebagai tanda kesyukuran"

Cuba kita bertenang dan fikir sejenak. Ada tak sepanjang hidup kita apabila kita berdoa ,Allah makbulkan terus.Sebenarnya bila keadaan ini berlaku boleh menyebabkan kita semakin yakin dan percaya bahawa Allah itu wujud. Kita akan jadi semakin yakin bahawa Islam itu benar. Kita akan menjadi semakin yakin bahawa Allah setiap masa berada disisi kita.Ada 2 kejadian yang meningkatkan keyakinan saya terhadap kehebatan doa dan ianya cukup meninggalkan kesan yang begitu mendalam terhadap diri saya
1) Satu ketika dulu di UiTM Terengganu, semasa saya mengambil peperiksaan akhir semester.Semasa saya membuka setiap helaian kertas soalan peperiksaan subjek pemasaran, saya merasa tertekan yang amat sangat kerana saya tidak boleh menjawab semua soalan yang diberikan.Apa yang saya baca dalam buku, tak keluar langsung dalam peperiksaan.Secara logik akalnya, saya berkata dalam hati ketika itu bahawa saya akan gagal.'Confirm failed'. Saya pun menundukkan muka di atas meja peperiksaan sambil memejamkan mata.Sebenarnya saya bukan tidur tetapi saya berdoa dalam hati dengan sangat bersungguh-sungguh.Saya dah takde sapa yang boleh tolong saya dalam keadaan genting masa tu, hanya ALLAH sahaja.Saya berbicara kepada Allah, saya menceritakan kebaikan yang pernah saya lakukan dengan harapan agar Allah memberi pertolongan kepada saya. Kemudian, saya memegang pen dan dengan kuasa Allah, saya berjaya menjawab semua soalan.Saya jawab sahaja dan saya tidak tahu apa yang saya jawab.Selesai sahaja 'exam', saya bergegas ke masjid UiTM, saya solah sunat hajat dan berdoa dengan penuh penghayatan supaya Allah kabulkan permintaan saya, kemudian terus saya sujud syukur kerana saya yakin Allah akan membantu saya.Selepas 2 bulan, saya terima keputusan peperiksaan, memang mengejutkan kerana saya dapat gred yang agak baik dalam subjek tersebut. Ingat dapat C ke bawah. Syukur sangat-sangat, hati pun semakin bertambah yakin tentang kehebatan doa dan keajaiban doa jika kita yakin benar-benar bahawa Allah pasti akan menolong kita.

2) Saya telah mendengar khabar berita yang sangat berat untuk saya terima iaitu ibu saya akan dibedah kerana penyakit ketumbuhan pada paru-paru. Doktor tidak memberi jaminan bahawa ibu saya akan selamat selepas pembedahan.Berita ini menyebabkan seluruh tubuh terasa lemah dan tanpa saya sedari air mata mengalir. Saya terus pergi ke tempat sunyi dan saya berdoa dengan penuh-penuh emosi sehingga basah baju saya dengan linangan air mata memohon agar Allah selamatkan ibuku.Syukur Allah makbulkan doa saya. Ibu saya selamat.Sampai masa, ibu saya keluar daripada hospital. Seorang pegawai hospital memanggil saya dan menunjukkan bil pembedahan sebanyak RM20,000. Saya sangat terkejut kerana kami memang tiada duit.Kami diberi masa beberapa bulan untuk melunaskan bil tersebut.Sekali lagi saya bermohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh agar diberikan rezeki wang ringgit. Dengan izin Allah, selepas beberapa hari difahamkan bil saya telah diselesaikan oleh hamba Allah. Saya tidak tahu, siapa orang tersebut sehingga sekarang.


KESIMPULANNYA, JANGANLAH SOMBONG...BERDOA LAH KERANA ITU LAMBANG KEFAKIRAN, KEHAMBAAN DAN RENDAH DIRI KEPADA PENCIPTA MANUSIA, ALLAH S.W.T.

No comments:

Post a Comment